TINTA MUSTIKA

TINTA MUSTIKA

Monday, May 18, 2015

S.A.P.A.



Lama rasanya 
tidak dijengah halaman sendiri.
Bersawang berhabuk.
Laman dibiar terpuruk tiada bicara.
Sengaja dibiar sepi.
Masih adakah mata-mata yang mahu menyapa?
Aku masih lagi sama.
Masih lagi seorang yang tiada sempurna.
Sama.

Sunday, September 14, 2014

RASA


Aku selalu menidak bisik hati.
Membiar ia sendiri.
Tidak dipeduli.
Walhal aku tahu,
bahagianya sekeping hati itu
maknanya bahagialah aku.

Gembira bukan syarat untuk bahagia.
Gembira cuma perasaan semata.
Tiada rasa.
Bahagia itu rasa.

Umpamanya,
Kita makan sesuatu.
Tapi,sedapnya rasa makanan itu belum tentu.
Bagaimana kita tahu makanan itu sedap?
Sudah tentu kita sudah makan makanan itu.
Begitulah ironinya.

Pening?
Baiklah. Lupakan.

Bahagia itu subjektif.
Penafsirannya berbeza-beza untuk setiap insan.

Makanya,
Usah dipersoal tentang bahagianya seorang manusia.
Kerana ia pasti berbeza disetiapnya.

Thursday, May 1, 2014

HAMBA

Di hamparan sejadah itu,
insan berteleku,
Mencerita setiap rasa pada Tuhan Yang Satu.
Menangis hiba mengadu duka dan sendu.
Mencari sekelumit tenang.
Mengharap secebis ihsan
buat dirinya yang lupa akan hamparan itu
dikala hati senang dipeluk riang.

Dikala itu,
saat dahi mengucup hamparan sejadah,
Hanya insan itu dan juga Penciptanya tahu
Apa yang memberat di relung hati.
Apa yang membeban di dalam jiwa.
Apa mahu hati si pemilik dahi yang sedang bersujud itu.

Tatkala itu,
Mengalirlah kekesalan yang tidak pernah
terfikirkan akan mengetuk pintu hati.
Basah hamparan sejadah usang itu kerana
biasanya duduknya dalam almari
di bahagian bawah baju-baju mahal berjenama terkemuka.
Langsung tidak diendah.

Ketahuilah,
Dalam diri setiap dari kita,
punyai jiwa seorang Hamba.
Kita perlu pada pelukan Pencipta kita suatu hari nanti.
Makanya,
Jangan sombong.
Usah bongkak.
Mintak jauh dari riak ujub dan takbur.
Kita semua sama.
HAMBA.

AMARAH

Berbuku rasa di kalbu.
Membungkam rasa dalam jiwa.
Meluap-luap amarah dalam dada.
Bahang terasa di setiap pembuluh darah.
Menggelegak darah melebih takat didih.
Merah padam wajah menahan segalanya.

Dalam keadaan ini,
Apakah waras masih ditahap waras?
Apakah keputusan yang diputuskan adalah yang paling terbaik?
Apakah setiap kata yang terhambur adalah yang baik-baik sahaja?
Atau mungkinkah
Segalanya terlihat salah?
Semuanya tidak berada ditempat yang sepatutnya?
Setiap kata-kata menyakitkan telinga?

Gelegak yang meledak dari api yang membakar.
Kesal pasti bertandang sedikit masa nanti.
Air mata pasti mengalir dari kantungnya.
Derita pastinya dirasai si hati yang kesal.
Akan juga ada hati yang lirih menahan pedih kata-kata.

Apa ini semua yang kau mahu?
Menyeksa hati yang cukup menyayangi.
Membiar sakit terus menyeksanya.
Jangan terus biar bisikan syaitan bermaharajalela di cuping telinga.
Kau pasti akan kesali dari setiap yang berlaku.
Maaf kau tiada guna lagi untuk sekeping hati itu.
Dia manusia.
Bisa memaafkan mungkin.
Namun tidak akan mungkin melupakan.
Dek kerana itu,
Hatinya akan masih tetap terluka.
Mungkin untuk selamanya.

Wednesday, April 30, 2014

KAKU DISINI

Sejauh mana kamu pergi.
Sejauh mana kamu lari.
Setinggi mana kamu daki.
Sedalam mana kamu sembunyi.
Aku masih disini.
Aku tetap disini.
Aku setia menanti.
Untuk kamu pulang.
Ke sini.
Di sisi aku.
Masih tetap mahu kamu.
Masih selalu sayang kamu.
Akan tetap begitu.

DEKAT

Kalam dalam bicara aku di pekatgelita malam.
Bisik di halwa telinga.
Coretan ini buat dia yang aku kasih.
Raut wajah yang aku rindukan saban waktu.
Pautan tangan yang tidak pernah lepas memaut aku.
Ukir senyum yang aku rindu selalu.
Hangat kasih membahang dalam dingin renyai hujan.
Membuai angan dalam jaga.
Menghanyut mimpi dalam lena.
Merayu dalam tegas bicara.
Menyair dalam lirikan mata.
Memuja cinta dalam doa pada Pencipta cinta.
Dekatlah pada aku.
Hangatkan dingin aku.
Temani aku seumur derap nafas terhela.

KAKUBEKU

Bila rasa yang diserap dan meresap ini
dimuntah pada segenap ruang hakiki
yang bisa menyerap kekuatan rasa,
Disaat itu aku beku.

Terkaku dalam angan yang menjerat tangkai rasa.
Terpaku dalam memori yang menyentap jiwa seksa.
Namun,
Aku tetap akan terus menari dalam tingkah dan irama sakti
walau alunan temponya sumbang sana-sini.

Senyum terus terukir biarpun sedikit sumbing.
Sambil menyulam bahagia yang masih berbunga.
Siapakah yang bisa untuk terus buat aku menyulam bahagia?

MALAM

Jiwa aku 
bersenandung di pekat malam..
Mungkin kerna 
dihujani bahagia cinta si arjuna..
Mungkin juga 
disimbah kasih dari teman sejiwa..

Aku lihat di pekat langit..
Hati aku berlagu..
Aku hirup tenangnya bayu,
Hati aku merindu..
Aku sentuh manisnya ukir senyum,
Hati aku memuja..
Aku gapai dinginnya tempias gerimis,
Hati aku gulana..

Malam..
Kau jangan biar siang..
Biar dia terus merindu,
Di pekat malam....

LAUT

Mahu aku muntahkan segala kata pada laut.
Dia tak mampu faham.
Dia cuma tahu telan kata-kata aku dengan
deruan ombak yang menghempas!
Pukulan ombak menyakitkan namun tenang.
Aku merintih pada laut,
Agar dibawa aku pergi dari segala rasa tika ini.
Selalu aku muntahbelahakkan kata-kata madah pujangga.
Namun kini tidak lagi.
Pukul aku wahai ombak!
Usah dihempas lagi pepasir itu..
Pukul aku sampai aku hancur berkeping-keping!
Aku ketagih bau hanyir air laut..
Kerana disitu ada rasa yang halus..
Bisa membunuh segala rasa.

SEKA

Juraian itu yang menyesak pembuluh darah aku.
Juraian itu juga menyempit salur nafas aku.
Sendu itu menjerut nadi aku.
Melumpuh segala kekuatan yang aku bangkitkan.
Deraian yang membunuh bicara aku.
Yang mengontangkan deria-deria.
Aku kaku.
Buntu.
Lumpuh.
Tak sanggup untuk aku lihat.
Namun,jasad itu perlu untuk terus tabah.
Terlalu perlu untuk terus kuat.
Sekeping hati itu sangat-sangat perlu bertahan.
Bukan untuk siapa-siapa.
Tapi untuk semua.